WISMA PUTRA PERLU PANGGIL DAN TEGUR DUTA AS - TAJUDDIN

Friday, February 13, 2015



Kerajaan melalui Wisma Putra perlu mengambil tindakan tegas terhadap Duta Amerika Syarikat (AS) yang mengkritik keputusan badan kehakiman negara berhubung kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.

Dato’ Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman berpendapat kenyataan yang dibuat oleh Duta AS di Malaysia itu menyatakan seolah-olah mereka tidak puas hati dengan penghakiman tersebut dan mempertikaikan kewibawaan kehakiman Malaysia.

“Pada saya kalau duta yang bercakap begitu ia mewakili kerajaan AS, dengan sebab itu saya berpendapat kerajaan Malaysia mesti protes dan nyatakan rasa kesal dengan kenyataan Duta AS itu,” katanya.


Menurut beliau, kerajaan melalui Wisma Putra kebiasaannya jika duta asing membuat sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan negara, duta itu akan dipanggil dan diberikan teguran serta amaran supaya tidak campurtangan dengan urusan negara kita yang merdeka.

Beliau menambah, Malaysia Negara merdeka dan berdaulat, kerajaannya dipilih oleh rakyat secara sah dan negara lain tidak seharusnya mempertikaikan kewibawaan negara ini.

“Kita tak masuk campur urusan negara mereka, badan kehakiman dan perlaksanaan undang-undang mereka walaupun dia ada undang-undang keras seperti akta tahanan tanpa bicara.

“Tetapi Negara kita apabila perlaksanaan Akta Hasutan dan ISA dikuatkuasakan, mereka pertikai konon tidak demokratik, ada konspirasi dan sebagainya.


"Kerajaan kita kena beritahu dengan tegas bahawa kerajaan kita merdeka dan dipilih oleh rakyat, jangan campurtangan kalau nak wujud hubunagn baik antara dua negara,” kata beliau lagi.

Kenyaatan Tajuddin itu senada dengan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkata, Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai hak untuk mengkritik mahupun mempersoalkan institusi undang-undang negara berhubung hukuman yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana AS juga bertindak memenjarakan rakyatnya tanpa melibatkan sebarang perbicaraan.

Mengulas mengenai tindakan protes penyokong Anwar di Penjara Sungai Buloh semalam, Tajuddin berkata mereka bertindak sedemikian kerana tidak boleh menerima keputusan mahkamah.

“Jika rakyat sudah tidak menghormati keputusan mahkamah dan tidak tunduk kepada undang-undang, apa yang akan terjadi kepada negara kita ini?,” tegasnya.

Tambahnya lagi, jika keadaan itu berlarutan, sesebuah negara itu akan berpandukan undang-undang rimba semata-mata.

“Rakyat sepatutnya faham dan tidak bertindak sedemikian,” katanya lagi.